JAKARTA: Mesyuarat antara ASEAN dan beberapa negara rakan dialog pada Khamis menjurus kepada usaha meningkatkan kerjasama untuk mewujudkan rantau Asia Tenggara yang aman, stabil dan makmur, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau menyertai Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN+1 (PMC+1) bersama India, New Zealand, Australia, Rusia, China, Japan, Kesatuan Eropah, Korea Selatan, Kanada dan United Kingdom di sini.

"Kesemua agenda perbincangan menjurus kepada perkara yang sama seiring usaha kita mengukuhkan hubungan dengan negara-negara berkenaan dalam memberikan impak yang baik untuk menjaga Asia Tenggara," katanya kepada media.

Semasa pertemuan dengan India, Malaysia menyatakan bahawa Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua-dua pihak memberi peluang yang luas untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi.

Bidang tumpuan utama termasuk dalam pendigitalan, keterjaminan makanan, farmaseutikal dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, serta kesalinghubungan untuk memastikan daya tahan dalam perdagangan global.

Memandangkan ASEAN dan India berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan keamanan, kestabilan dan kemakmuran berterusan di rantau Indo-Pasifik, beliau berkata: "Malaysia yakin kedua-dua pihak akan terus mengutamakan dialog dan kerjasama, termasuk dengan rakan kongsi lain, menentang iklim geopolitik global yang tidak menentu dan kelemahan peraturan pelbagai hala."

Sementara itu, Zambry menggesa kerjasama dipertingkatkan ke arah keterjaminan makanan dan integrasi ekonomi yang lebih baik melalui Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand yang dijangka dinaik taraf dan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) untuk memajukan perkongsian strategik ASEAN-New Zealand.

Pada pertemuan dengan New Zealand, beliau berkata negara itu perlu menyertai ASEAN dalam menyeru negara maju untuk mengukuhkan komitmen di bawah Perjanjian Paris kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim.

Mesyuarat itu juga menerima pakai Kenyataan Bersama ASEAN-New Zealand mengenai kerjasama ASEAN Outlook on Indo-Pacific sebagai bukti komitmen kedua-dua pihak terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

-- BERNAMA